“Aku tidak pernah sembahyang tetapi aku tetap berjaya”* [Diambil dengan izin]

Pada percaturan saya, elok kiranya entri pendek yang sekali ini dicoret dalam bahasa Malaysia. Kerana apa? Kerana saya fikir bahasa Malaysia mempunyai darjah pemerian yang tinggi dan saya berharap agar mesej yang ingin saya sampaikan menerusi entri ini dapat ditafsirkan dengan lebih jelas berbanding dengan entri yang dicoret dalam bahasa Antarabangsa. Tidak pernah sekalipun terlintas di benak saya agar kandungan entri ini akan memberikan nasihat atau apa-apa bentuk inspirasi kepada mana-mana pihak, jauh sekali diharapkan agar ianya dapat mengajar mana-mana pihak mengikut acuan yang saya tempa, tetapi coretan ini hanyalah satu monolog yang tercetus dari idea saya yang sememangnya subjektif dan tidak terbatas dalam usaha untuk mendidik diri saya sendiri. Andai ada apa-apa pengajaran yang boleh dijadikan pedoman daripada entri ini, saya petik kata-kata Rasulullah (SAW) yang berbunyi “Ambillah hikmah itu, walaupun ianya datang daripada mana sekalipun” dan andai coretan ini tidak ada apa-apa pengajaran walau sekelumit pun, maka campaklah ia jauh-jauh.

Saya teringat akan sahabat-sahabat yang kurang berjaya dalam peperiksaan akhir baru-baru ini. Kenapa saya mengunakan istilah sahabat? Sebab pada saya semua orang yang saya kenal adalah sahabat saya, individu yang saya akan leter kalau mereka tersalah, yang saya akan risau kalau mereka tidak sihat, yang saya akan menangis kalau mereka sedang bersedih, individu yang saya sanggup untuk sama-sama berlapar dan individu yang saya akan ajar sampai faham dengan ilmu yang tohor yang saya ada.

Fiq,
Sebenarnya, ada perbezaan besar antara nama Allah “Yang Maha Pemurah” dan “Yang Maha Penyanyang”. Allah maha pemurah pada semua makhluknya tetapi hanya yang terpilih sahaja yang Allah sayang iaitu pada orang-orang yang beriman. Sebab itu kita lihat kenapa agaknya orang yang tidak solat, yang sering melakukan maksiat, masih tetap berjaya. Kerana Allah itu “Yang Maha Adil” dan ingatlah bahawa “kamu akan dapat apa yang kamu usahakan” dan janji Allah itu pasti. Mungkin kita tidak sedar yang usaha mereka lebih daripada kita walaupun mereka melakukan perkara-perkara terlarang itu. Maka dari itu, janganlah bersedih kiranya kita kurang bernasib baik dan tidak mendapat seperti apa yang kita hajati. Barangkali ada kekurangan pada percaturan kita di mana-mana atau ada kesilapan yang pernah kita lakukan sedang kita tidak ketahui. Dan ingatlah bahawa dalam kita seronok merancang, Allah adalah sebaik-baik perancang kerana Allah itu “Yang Maha Mengetahui”. Jadi Allah maha mengetahui apa yang lebih terbaik untuk kita. Maka ingatlah pesanan ini: berusahalah bersungguh-sungguh dan bertawakallah. Kemenjadian sesuatu yang kita kerjakan itu, pokok pangkalnya Allah sahaja yang tentukan. Jadi jangan ambil alih kerja Allah. Jangan merasakan bahawa “ini pasti berjaya” atau “saya pasti menang”. Apabila kita asyik mempersoalkan ketentuan Allah bererti kita seolah-olah menidakkan bahawa Allah it "Yang Maha Pemurah", "Yang Maha Penyayang", "Yang Maha Adil" dan "Yang Maha Mengetahui". Mungkin kadang-kadang kita terlupa akan hakikat ini.

Fiq,
Pernah dengar apa itu “istidraj”. Ianya adalah suatu bentuk kesenangan yang Allah limpahkan kepada orang-orang yang tidak Dia redha. Semakin banyak perkara terlarang yang seseorang itu buat, Allah tambahkan lagi kesenangan padanya sehinggalah satu masa yang dijanjikan, Allah rentap segala kesenangan itu dengan sekelip mata. Lihat sahajalah Ramses II (Firaun), Namrud, Haman dan Qarun. Maka dari itu, janganlah merungut “Aku peliklah orang macam tu hidup dia senang aje” atau “Kenapalah agaknya aku yang juga kena”.

Fiq,
Hati manalah yang tidak akan tenang, jiwa manalah yang tidak akan memberontak setiap kali diri ini diuji. Setidak-tidaknya, kita tentu akan bersedih. Maka akan terdengarlah cakap-cakap “Sabar, sabar!!! Tak kena batang hidung sendiri boleh la cakap sabar!!! Yang kena aku bukan engkau!! Boleh la suruh sabar!!!” Saya akui saya sendiri pernah mengeluarkan kata-kata sedemikian. Dalam keadaan geram, akal dikuasai oleh hati yang marah, macam-macam boleh terjadi. Kita jadi tidak tenteram, duduk bersendirian atau pun menangis. Saya kurang berkenan jika ada orang yang berkata “Aku faham masalah ko, bro”. Pada saya kata-kata yang sesuai ialah “Aku tahu masalah ko, bro”. Kamu tidak akan dapat faham apa yang sedang saya rasai jika kamu tidak pernah mengalami apa yang sedang saya alami sekarang ini. Sebab itu kita ada peribahasa yang berbunyi: “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”. Kita hanya “tahu” masalah yang dihadapi oleh sahabat kita berat, tetapi kita tidak akan sekali-kali “faham” seberat mana masalah itu sebab kita tidak pernah rasa. Satu lagi perkara ialah, apabila memberi nasihat janganlah berikan kata-kata “biasa yang sama” pada sahabat-sahabat kita. Kerana kata-kata “biasa yang sama” itu, pada saya, kurang kesannya kepada sahabat-sabahat yang sangat-sangat memerlukan nasihat. Tentu ada tujuan mengapa kita dilihat atau dipilih sebagai orang yang mampu menjadi rujukan atau perantara kepada mereka. Berikanlah idea, satu bentuk penyelsaian, atau kata-kata yang boleh membuka minda, membina semangat atau mampu memberikan satu perspektif baharu.

Ayat cliché seperti “setiap yang berlaku pasti ada hikmah”, “hidup macam roda”, “it’s not the end of the world”, “dah tak de rezeki”, “hidup memang la macam ni” atau “sabar yek” tidak akan dapat banyak membantu. Perbaikilah ia, setidak-tidaknya, dengan:

Setiap yang berlaku pasti ada hikmah tapi dalam usaha nak mencari hikmah tu la yang paling susah. Kita tak akan tahu mengapa dalam banyak-banyak orang yang telah berusaha, kita dipilih oleh Allah untuk gagal kali ini. Hikmah itu hanya kita akan tahu bila kita telah harungi ujian itu. Ada seorang sahabat saya yang diuji dengan kehilangan barang berharga berkali-kali dan baru-baru ini dia memberi tahu kepada saya: “Rupanya Allah nak aku biasa dengan rasa hilang barang, sebab Allah nak ambil balik emak aku. Sebab Dia tak nak aku bersedih.” Jadi didiklah hati supaya sentiasa bersyukur dan berdoalah kepada Allah yang tidak pernah jemu-jemu mendengar. Sesungguhnya orang yang baik akan sentiasa diuji imannya. “Doa orang beriman sengaja dilambatkan kerana Allah rindu akan suara kita, Allah ingin kita menyebut perkara yang kita hajati dan namaNya berulang-ulang kali. Doa orang yang tidak beriman cepat sahaja Allah tunaikan, kerana Allah rimas mendengar rungutan dan permintaan orang yang tidak Dia redha.”

Ingatlah janji Allah bahawa setiap kesusahan itu pasti akan diikuti dengan kesenangan. Janganlah menyangka bahawa kesusahan ini akan berkekalan lama sampai bila-bila. Dan kesenagan itulah yang kelak akan kita rasa dan hargai dengan penuh nikmat. “Sekiranya kamu bersyukur nescaya akan Aku tambahkan lagi nikmat ke atas kamu, tetapi sekiranya kamu kufur, ingatlah bahawa azab Aku adalah sangat pedih”.

Fiq,
Kamu berdoa supaya kamu ada duit yang banyak, maka Allah berikan kamu kesusahan, supaya selepas kesusahan itu berakhir, orang berikan kepada kamu RM1, kamu akan rasa sangat-sangat bersyukur. Kamu berdoa supaya kamu cemerlang, maka Allah berikan kamu gagal dan pointer jatuh, supaya kamu sentiasa beringat dan keluar dari zon selesa kamu, dan apabila keputusan seterusnya keluar, kamu akan rasa sangat-sangat gembira. Kamu berdoa supaya berikanlah kamu kesihatan, maka Allah berikan kamu sakit, supaya apabila kamu sembuh, kamu sedar yang selama ini nikmat sihat itu hanya sekadar pinjaman. Kamu berdoa supaya kamu berkuasa, Allah timpakan kamu dengan kesusahan, supaya apabila kamu naik sebagai pemimpin, kamu tahu apa masalah orang lain yang kamu pimpini. Kamu berdoa supaya kamu dapat apa yang kamu kejar, Allah matikan salah seorang di antara kamu dan Allah tarik sebentar nikmat yang pernah kamu ada, supaya kamu sedar apa itu erti sebuah kehilangan dan kamu kemudian berlajar untuk bersyukur.

Fiq,
Semasa kamu mandi, semasa kamu sabun kaki kamu, pernah tak kamu terfikir yang Allah boleh tarik semula nikmat kamu berjalan? Semasa kamu jawab exam, pernah tak kamu terfikir kalau tangan kanan kamu yang senang menulis itu patah, apa kesudahan kamu? Pernah tak kamu terfikir, kalau lidah kamu dipotong, apa akan jadi pada client kamu? Pernah tak kamu ucap “Alhamdulillah” setiap kali kamu bangun dari tidur kerana Allah berikan kamu semula peluang untuk hidup dan lakukan aktiviti rutin kamu pada hari ini. Kamu asyik mengeluh PTPTN lambat masuk dan duit tak cukup nak beli external hard disk, pernah tak kamu terfiikir apa kesudahan kamu kalau parents kamu Allah panggil? Jadi janganlah merungut dan bayak-bayakkanlah bersyukur. Sekiranya setiap nikmat yang Allah berikan kepada kamu, kamu kena ucap Alhamdulillah, maka kamu akan mngucap Alhamdulillah tidak putus-putus tanpa henti kerana terlalu banyak nikmat Allah yang kamu dapat. Nikmat Islam, nikmat mata, nikmat oksigen, nikmat makan.

Maka dari itu, janganlah berputus asa dengan rahmat Allah dan janganlah berburuk sangka dengan ketentuan Allah. Ingatlah bahawa setiap kesusahan itu pasti akan diikuti dengan kesenangan. Nescaya satu hari nanti Alah akan angkat kembali kedudukan kamu seperti sebelumnya atau lebih tinggi lagi. Itu janji Allah. Percayalah. Doa solat hajjud pun ada mengatakan "Ya Allah, masukkanlah aku ke tempat yang benar, dan keluarkanlah aku dari tempat yang benar". Ingatlah sahabatku bahawa kejayaan itu bukannya diukur dari berapa kali kamu berjaya, tetapi ianya diukur dari berapa kali kamu bangun dan kembali berdiri selepas beberapa kali tersungkur. 

p/s: kamu pernah google lirik lagu “rahmat ujian”? Cuba kamu teliti dan perhalusi setiap bait-bait lirik lagu tersebut, memang menginsafkan. 



Seorang sahabat ada berpesan kepada saya,


“Bila kau memandang segalanya dari Tuhanmu, yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang dan menyusahkan hidupmu, pasti akan damailah hatimu kerana masakan DIA sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia, bukan DIA tidak tahu deritanya hidupmu, retaknya hatimu, tapi mungkin  itulah yang DIA mahu kerana DIA tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab denganNya.”